Thu 31 Dec 2009
Datuk Hamzah harus diambil tindakan
Posted by Lih Kang under Politics
No Comments

Kenyataan Akhbar
30hb Disember 2009
Datuk Hamzah harus diambil tindakan
Saya berasa amat kesal dengan sikap Barisan Nasional dalam mengendalikan isu penyelewengan tanah RPT Kampung Sungai Itek, Gopeng.
1) Pada 21hb Disember 2009, Datuk Hamidah Osman telah mengadakan sidang media untuk menjelaskan perkara tersebut.
Namun, saya berpendapat bahawa Datuk Hamidah Osman bukan orang yang sesuai untuk memberi komen dalam kes ini. Sebab-sebab adalah seperti berikut:
a) Datuk Hamidah tidak memegang port folio tanah dalam kerajaan negeri.
b) Datuk Hamzah Mohd Kassim yang terlibat dalam penyelewengan ini merupakan Ketua UMNO Bahagian Gopeng, dan Datuk Hamidah merupakan Ketua Wanita UMNO Bahagian Gopeng.
c) Kedua-dua Datuk Hamzah dan Datuk Hamidah pernah menjadi rakan kongsi perniagaan di sebuah syarikat, Projek Bitara Sdn Bhd (574287-P).
Sebab hubungan yang rapat dengan Datuk Hamzah, kenyataan Datuk Hamidah mengenai kes ini amat diragui.
2) Datuk Hamidah menafikan bahawa sistem kuota dalam pembahagian tanah RPT adalah polisi kerajaan Barisan Nasional. Beliau hanya salahkan Pegawai Daerah Kampar, Ahmad Kamarulzaman Hamzah.
Salahkan kakitangan kerajaan apabila penyelewengan dibongkarkan adalah politik pengecut! Ini menunjukkan bahawa Barisan Nasional tidak serius dalam menangani rasuah dan penyelewengan tetapi hanya semata-mata hendak melindungi pemimpin mereka yang rakus dan tamak haloba.
Sekiranya Barisan Nasional bertekad untuk membasmi penyelewengan, mereka patut mencari dalang yang sebenar dalam kes ini. Satu persoalan harus dijawab, kenapa pegawai daerah sanggup memberi kuota kepada Ketua UMNO Bahagian Gopeng sekiranya tidak wujudnya tekanan politik?
Dalam perkara ini, pegawai daerah yang tidak mendapat apa-apa kebaikan dijadikan kambing hitam, tetapi Ketua UMNO Bahagian Gopeng yang memberikan tanah kepada kroni-kroninya tidak diambil tindakan. Ini merupakan double standard yang amat tidak adil!
3) Justeru itu, saya mendesak Barisan Nasional mengambil langkah-langkah berikut untuk memperbetulkan keadaan:
a) Mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terlibat dalam skandal ini, terutamanya Ketua UMNO Bahagian Datuk Hamzah Mohd Kassim yang jelas menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapat kepentingan sendiri dan sekutunya.
b) Kosongkan senarai peserta RPT Kampung Sungai Itek Gopeng yang dikemukakan di bawah kuota Ketua UMNO Bahagian Gopeng dan ketua kampong. Buka permohonan semula dan mendapatkan penduduk-penduduk yang layak untuk mengisi 40 kekosongan ini.
Sekiranya langkah ini tidak diambil, saya akan merujuk semua ahli-ahli Jawatankuasa Tanah Kampar kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).
c) Bebaskan semua kakitangan kerajaan daripada tekanan politik di semua peringkat.
Sekian.
Yang benar,
_____________________
YB CHANG LIH KANG
Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Perak
merangkap ADUN Teja


